SOALAN LAZIM
RANCANGAN MALAYSIA KETIGA BELAS (RMK13)
MAKLUMAT UMUM MENGENAI RMK13 [6]
Rancangan Malaysia merupakan rancangan pembangunan jangka sederhana yang menetapkan teras dan strategi yang menyeluruh untuk mencapai sasaran di bawah agenda pembangunan negara bagi tempoh 5 tahun.
Perancangan pembangunan negara dilaksanakan pada tiga peringkat, iaitu bagi tempoh jangka panjang, jangka sederhana dan jangka pendek.
- Perancangan jangka panjang merangkumi tempoh 10 hingga 30 tahun, seperti berikut:
- Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
- Wawasan 2020 (1991-2020)
- Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000)
- Dasar Wawasan Negara (2001-2010)
- Dasar Transformasi Negara (2011-2020)
- Objektif yang dikenal pasti di bawah setiap rancangan jangka panjang akan diterjemahkan kepada strategi dan inisiatif di bawah rancangan pembangunan jangka sederhana untuk tempoh lima tahun. Sehingga kini, terdapat 15 rancangan lima tahun, iaitu:
- Rancangan Malaya Pertama (1956-1960)
- Rancangan Malaya Kedua (1961-1965)
- Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970)
- Rancangan Malaysia Ke-2 (1971-1975)
- Rancangan Malaysia Ke-3 (1976-1980)
- Rancangan Malaysia Ke-4 (1981-1985)
- Rancangan Malaysia Ke-5 (1986-1990)
- Rancangan Malaysia Ke-6 (1991-1995)
- Rancangan Malaysia Ke-7 (1996-2000)
- Rancangan Malaysia Ke-8 (2001-2005)
- Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010)
- Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015)
- Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020)
- Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025)
- Rancangan Malaysia Ketiga Belas (2026-2030)
- Rancangan jangka pendek dilaksanakan melalui belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan.
Rancangan ini disediakan menggunakan pendekatan dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas.
- Perancangan dari atas ke bawah bermula dengan penyediaan rangka kerja ekonomi makro oleh agensi pusat, termasuklah Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia. Sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan rancangan jangka sederhana, Kementerian Ekonomi menyelaras dan mencadangkan sasaran ekonomi makro serta menerbitkan garis panduan rancangan untuk rujukan semua kementerian dan agensi.
- Pendekatan dari bawah ke atas melibatkan sesi libat urus yang meluas dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk melalui Mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), bagi membolehkan semua pihak menyumbang dan memastikan program dan projek pembangunan selari dengan objektif dan matlamat rancangan.
- Kementerian Ekonomi seterusnya mengangkat cadangan dasar serta program pembangunan utama ke Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (JPPN) iaitu jawatankuasa tertinggi di peringkat pegawai kerajaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, sebelum mengemukakannya ke Jawatankuasa Khas Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Dasar dan program pembangunan ini seterusnya dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen.
Matlamat Rancangan Malaysia adalah seperti berikut:
1. Menentukan hala tuju pembangunan negara
2. Menyediakan rancangan pembangunan sosioekonomi negara jangka sederhana & panjang
3. Menyelaras dasar dan program antara kementerian dan agensi
4. Menentukan keutamaan dan peruntukan sumber
5. Memastikan pembangunan terangkum dan seimbang
6. Menyesuaikan negara dengan cabaran domestik dan global
7. Membolehkan pemantauan, penilaian dan akauntabiliti
Tema RMK13 adalah “Melakar Semula Pembangunan”. Tema ini merupakan komitmen negara untuk menstruktur semula pembangunan sosioekonomi bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan darjat hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola baik ke arah merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI. Tema ini dipetakan kepada tiga teras Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tatakelola baik.
Struktur ekonomi negara telah beralih daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian dan perkhidmatan, dan seterusnya menuju kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai. Bagi mempercepat peralihan ini, penekanan akan diberikan kepada strategi untuk meningkatkan kerencaman ekonomi, melonjakkan pertumbuhan yang terangkum, mampan dan seimbang serta memperluas jaringan perdagangan pada peringkat global.
Tiga perkara melandasi RMK13 iaitu :
- Menuju Negara Berteraskan Kecerdasan Buatan – Malaysia sebagai negara berteraskan kecerdasan buatan yang terangkum dan mampan serta menjadi hab pengeluar teknologi digital serantau dalam penciptaan inovasi serta penghasilan produk dan perkhidmatan
’Made by Malaysia’ - Sistem Sosial Berteraskan Insan MADANI – Insan MADANI yang mempunyai nilai kerohanian, aspek manusiawi dan jati diri yang teguh dan masyarakat yang saksama, harmoni dan bersatu padu dapat membentuk sistem sosial yang utuh, terangkum dan responsif
- Negara Bangsa yang Berdaulat dan Bermaruah – Pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah dapat menjamin keharmonian sosial, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi serta meningkatkan imej positif Malaysia di persada dunia
Fokus utama RMK13 adalah seperti berikut:
- Menaikkan Siling – menstruktur semula ekonomi negara ke arah pembangunan yang mampan bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia
- Tata Kelola Baik – menambahbaik penyampaian perkhidmatan Kerajaan melalui pendekatan reformasi sektor awam bagi memastikan pengurusan negara yang lebih baik dan berkesan
- Menaikkan Lantai – menaik taraf kualiti kehidupan bagi meningkatkan darjat hidup rakyat
Menggunakan pendekatan pelbagai dimensi yang melibatkan lebih daripada satu aspek, sudut pandang atau komponen dalam membentuk atau mencerakinkan sesuatu perkara merangkumi aspek kerencaman ekonomi, mobiliti sosial, tatakelola terbaik dan kesihatan bumi.
TONGGAK A : MENINGKATKAN KERENCAMAN EKONOMI [22]
Industri HGHV dan Sektor Strategik Berimpak Tinggi
Kerajaan menggunakan National Energy Transition Roadmap (NETR) sebagai dokumen panduan program peralihan tenaga. Rakyat akan mendapat manfaat dari segi pewujudan pekerjaan baharu, alam sekitar yang lebih bersih serta penjanaan ekonomi negara.
Tumpuan akan diberikan kepada model pelaburan berasaskan pengetahuan, inovasi dan penciptaan serta teknologi berbanding pelaburan berasaskan infrastruktur. Pendekatan kerjasama strategik akan dilaksanakan dengan syarikat semikonduktor global dan tempatan di sepanjang rantaian nilai bagi mempercepat peralihan industri kepada pengeluaran produk lebih kompleks dan bernilai tinggi dalam aktiviti front end seperti reka bentuk litar bersepadu. Penglibatan aktif Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan bersama syarikat tempatan amat ditititkberat bagi melahirkan jaguh tempatan bertaraf global. Ekosistem pelaburan industri semikonduktor juga akan diperkukuh dengan mengintegrasikan ekonomi kitaran dan pendigitalan yang berlandaskan AI dalam rantaian bekalan tempatan. Kerajaan akan mengutamakan insentif pelaburan berasaskan harta intelek dan pembiayaan alternatif serta latihan kemahiran spenuhnya di industri.
Rakyat akan mendapat peluang pekerjaan yang lebih banyak dengan kemahiran khusus dan meningkatkan daya cipta yang mampu memenuhi keperluan industri. Pihak industri akan memperoleh pelaburan yang lebih berkualiti dan menggalakkan penyelidikan, inovasi serta meningkatkan daya saing dan produktiviti. Negara akan memperkukuh kedudukan sebagai ekonomi serantau yang berdaya saing dan mampan di peringkat global dan menjadi peneraju dalam teknologi cip yang lestari di rantau Asia.
Kerajaan akan mempercepat pembangunan industri nadir bumi dengan menambah baik keseluruhan ekosistem industri REE termasuk mempergiat aktiviti sepanjang rantaian nilai. Tumpuan akan diberikan kepada pembangunan kapasiti tempatan dalam teknologi perlombongan, penulenan dan pemisahan melalui kerjasama strategik dengan negara luar. Selain itu, sumber bahan mentah REE dihadkan untuk kegunaan domestik supaya ia menyokong pembangunan industri pertengahan dan hiliran yang berpotensi.
Untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian melalui pertanian pintar akan diperluas dengan menggunakan teknologi moden, seperti internet benda, dron dan analitik data raya. Di samping itu, penggunaan teknologi robotik dalam perladangan kelapa sawit akan dilaksanakan secara rintis bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Selain itu, produktiviti dan kualiti pengeluaran akan ditingkatkan dengan mempergiat aktiviti R&D&C&I dan pertanian pintar melalui kerjasama antara petani, institusi penyelidikan dan pihak industri. Inisiatif akan ditumpukan kepada pemindahan teknologi dalam penghasilan varieti tanaman dan baka yang berhasil tinggi dan berdaya tahan, penggunaan jentera dan kaedah penanaman moden serta perawatan tanah.
- Negara berteraskan AI merujuk kepada negara berteknologi AI yang mengintegrasikan AI secara menyeluruh sebagai teras utama dalam pembangunan sosioekonomi, pentadbiran negara dan kehidupan seharian rakyat.
- Aspirasi Malaysia pada tahun 2030 adalah untuk menjadi negara berteraskan AI yang terangkum dan mampan serta berperanan sebagai hab pengeluar teknologi digital serantau dalam penciptaan inovasi serta penghasilan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’.
Usaha yang akan diambil adalah:
- Mewujudkan bank data negara sebagai repositori maklumat terperinci secara berpusat.
- Meningkatkan penggunaan digital twin sebagai sandbox maya.
- Membangunkan platform hyperpersonal bagi memudah cara padanan permintaan dan penawaran antara perniagaan dan penyedia penyelesaian teknologi tempatan.
- Membangunkan pelan migrasi kriptografi pascakuantum.
- Memperkenalkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030.
- Meningkatkan capaian internet berkelajuan tinggi.
- Memperkenalkan identiti digital perniagaan.
- Mempergiat pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Perkongsian.
Mewujudkan zon pelaburan pelancongan khusus yang mengekalkan kelestarian serta merangsang penciptaan produk baharu berasaskan seni, budaya, warisan dan alam semula jadi.
RMK13 memberi keutamaan kepada penubuhan suruhanjaya halal sebagai badan tunggal yang menyelaras keseluruhan ekosistem halal negara secara lebih menyeluruh dan bersepadu. Usaha ini disokong dengan penambahbaikan proses pensijilan halal melalui pembangunan sistem MYeHalal yang lebih efisien dan mesra pengguna. Pendekatan holistik ini turut merangkumi peningkatan kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal, pemerkasaan bakat dalam sektor halal, pemudahcara pelaburan strategik, serta pengukuhan peranan Malaysia dalam standardisasi halal di peringkat antarabangsa. Di samping itu, inisiatif pembiayaan hijau turut digalakkan bagi menyokong pembangunan industri halal yang mampan dan berdaya saing.
Ekonomi Jingga merujuk kepada sektor ekonomi yang berasaskan kreativiti, budaya, warisan, seni dan inovasi. Ia meliputi pelbagai industri kreatif seperti muzik, filem, seni persembahan, seni digital, animasi, permainan video dan sebagainya.
Ekonomi Hijau
Pembiayaan hijau merujuk kepada pembiayaan atau pelaburan dalam bidang yang memberi tumpuan kepada aspek pembangunan mampan seperti tenaga boleh baharu, pengurusan sisa lestari dan pembangunan rendah karbon. Ia memainkan peranan yang penting untuk memudah cara usaha peralihan kepada ekonomi hijau sekali gus menyokong usaha menangani perubahan iklim, mengurangkan pelepasan karbon dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Ekonomi Biru
Ekonomi biru merujuk kepada penggunaan sumber secara lestari daripada kawasan laut, pesisir pantai dan ekosistem air tawar untuk pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat serta pemeliharaan ekosistem dan biodiversiti. Tiga (3) strategi utama berkaitan ekonomi biru yang terkandung dalam RMK13 adalah seperti berikut:
- Memantapkan tadbir urus menerusi dasar marin yang menyeluruh, perancangan spatial marin, reformasi perundangan serta pembangunan data perakaunan biru bagi pengurusan sumber yang bersepadu;
- Melonjakkan industri maritim utama seperti pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), logistik, perikanan dan akuakultur, pelancongan pantai dan maritim, serta tenaga boleh baharu biru dengan disokong oleh insentif kewangan mampan dan penggunaan teknologi automasi termaju bagi menarik pelaburan bernilai tinggi; dan
- Memelihara biodiversiti menerusi penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat ke atas aktiviti perikanan secara haram dan berlebihan (IUU), peluasan sistem tagal komuniti serta kerjasama strategik dalam pengurusan sisa marin dan pemuliharaan alam sekitar.
Keterjaminan Makanan
Dalam tempoh RMK13, tumpuan akan diberi untuk mengukuhkan keterjaminan makanan melalui usaha mempertingkatkan pengeluaran dengan memberi tumpuan kepada pertanian berskala besar dan peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran. Selain itu, usaha akan dipergiat untuk memantapkan keterjaminan bekalan melalui kepelbagaian sumber import dan pengukuhan pengurusan risiko. Di samping itu, rantaian bekalan makanan akan diperkukuh melalui penambahbaikan infrastruktur, pemerkasaan sektor peruncitan, penyediaan platform untuk ketelusan harga dan penguatkuasaan kawal selia secara menyeluruh.
Ekosistem R&D&C&I
Terdapat empat (4) strategi telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dalam tempoh RMK13 bagi memantapkan ekosistem R&D&C&I. Strategi tersebut adalah menambah baik model pelaburan, meningkatkan penciptaan nilai daripada IP, memastikan ketersediaan bakat dan memantapkan tadbir urus R&D&C&I
Produktiviti dan Daya Saing Negara
Saringan tahap produktiviti firma ialah proses penilaian ke atas keupayaan dan kecekapan operasi sesebuah syarikat, termasuk proses kerja dan penggunaan sumber. Melalui saringan ini, kerajaan dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan syarikat, sekali gus memudahkan penyediaan intervensi dasar dan bantuan yang lebih bersasar, seperti latihan, automasi atau penstrukturan semula proses kerja. Ini akan membantu syarikat meningkatkan daya saing dan kecekapan mereka dalam jangka masa panjang.
Ekosistem persaingan akan diperkukuh melalui penyediaan perundangan persaingan yang lebih menyeluruh dan berkesan. Dalam hubungan ini, semua industri termasuk komunikasi dan multimedia, penerbangan awam serta tenaga akan dikawal selia di bawah satu perundangan persaingan khusus. Usaha ini akan meningkatkan keberkesanan kawal selia, termasuk dalam mencegah penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran. Di samping itu, perundangan berkaitan rent-seeking yang menyeluruh dan bersepadu akan diperkenalkan bagi membolehkan tindakan undang-undang yang tegas diambil untuk memastikan aktiviti rent-seeking dapat dibanteras dengan lebih berkesan.
Mitigasi dan Adaptasi Banjir
Kerajaan akan melaksanakan pendekatan baharu yang lebih inovatif dan responsif bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir. Kawasan takungan air sedia ada seperti bekas lombong dan kolam rekreasi akan dimanfaatkan sebagai kolam takungan banjir di kawasan berisiko tinggi. Pembangunan infrastruktur pelbagai fungsi akan turut diteroka yang meliputi mitigasi banjir, penjanaan tenaga hidroelektrik, bekalan air alternatif dan aktiviti rekreasi bagi mengoptimumkan manfaat kepada rakyat dan menyokong pembangunan ekonomi. Selain itu, pelaksanaan konsep bangunan adaptif banjir, seperti pembinaan rumah terapung dan bangunan bertiang tinggi serta penggunaan bahan kalis banjir akan dipertingkatkan. Penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang lestari akan dipergiat dan pembangunan bandar berkonsepkan kalis bencana akan diperluaskan.
Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan impak banjir di kawasan berisiko tinggi melalui konsep bangunan adaptif banjir seperti rumah terapung dan struktur bertiang tinggi serta penggunaan bahan binaan kalis banjir. Selain itu, pembangunan bandar berkonsepkan kalis bencana turut diperluas bagi meningkatkan daya tahan infrastruktur. Pendekatan penyelesaian berasaskan alam semula jadi juga akan dipergiat sebagai langkah menjimatkan kos pengurusan banjir dalam jangka panjang. Garis panduan sponge city akan dibangunkan sebagai rujukan utama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merancang pembangunan bandar yang lebih mampan dan berdaya tahan. Intervensi dalam bentuk bantuan kewangan dan kredit mikro akan disediakan bagi mempercepat proses pemulihan dan mengurangkan beban kewangan PMKS. Institusi kewangan dan institusi kewangan bukan bank akan digalakkan untuk menyediakan skim pembiayaan dan perlindungan insurans pasca banjir. Pengenalan skim insurans mampu bayar akan diteroka bagi meningkatkan akses kumpulan rentan kepada perlindungan kewangan pasca banjir.
Ketersediaan Infrastruktur Pengangkutan Awam
Antara inisiatif yang akan dilaksanakan bagi memberikan perkhidmatan yang berdaya saing dan berdaya harap adalah dengan meningkatkan kemampanan kewangan operator pengangkutan awam. Pelaksanaan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) juga akan dipercepat melalui kerjasama strategik antara operator pengangkutan awam dan pihak swasta di kawasan yang berpotensi. Manakala, pelaburan untuk infrastruktur dan fasilitasi pengangkutan awam juga akan ditingkatkan untuk memperluas jaringan pengangkutan awam dan menambah baik keselesaan pengguna. Seterusnya, tadbir urus pengangkutan awam berasaskan rel akan distruktur semula bagi meningkatkan kecekapan agensi bertanggungjawab dalam kawal selia, pemilikan aset dan operasi.
Perkongsian mod pengangkutan awam di Lembah Klang dijangka mencapai sasaran 40% menjelang tahun 2030. Selain itu, Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) oleh operator pengangkutan awam disasarkan sebanyak 30 untuk dilaksanakan menjelang tahun 2030.
Penskalaan PMKS
Inisiatif yang dirancang untuk menambah baik ekosistem PMKS:
- Penyeragaman definisi PMKS supaya reka bentuk program sokongan dapat dirangka dengan lebih bersasar
- Mekanisme pembiayaan diperkemas melalui peralihan kaedah daripada berbentuk geran kepada pembiayaan mampan seperti pembiayaan berperingkat dan bersasar.
- Pendanaan daripada syarikat insurans dan takaful akan diteroka
- Skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan akan dimanfaatkan
- Syarikat induk dalam rantaian bekalan perniagaan akan digalakkan untuk memudah cara PKS mendapat akses kepada pembiayaan bagi menerima pakai prinsip ESG
Sektor Ketiga
Dalam konteks RMK13, sektor ketiga merujuk kepada individu atau kumpulan yang menjalankan aktiviti kesukarelawan atau kemasyarakatan dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan sosial, penjagaan kesihatan, alam sekitar, pendidikan, budaya dan advokasi dengan misi untuk menangani cabaran sosial dan meningkatkan kesejahteraan golongan rentan. Pemain sektor ketiga terdiri daripada individu atau organisasi seperti badan amal, yayasan, persatuan, organisasi bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil, perusahaan sosial dan koperasi.
Di bawah RMK13, definisi dan peranan sektor ketiga akan diperincikan dan diperkasakan melalui kajian dan pembangunan dasar yang menyeluruh bagi memastikan semua pihak berkepentingan dapat menyumbang dan menerima manfaat secara optimum.
Usaha untuk meningkatkan keterlihatan sektor ketiga akan dipergiat melalui aktiviti promosi dan pemasaran bersepadu bagi produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan. Peluang untuk sektor ketiga terlibat dalam perolehan kerajaan dan GLC bagi membekalkan produk dan perkhidmatan akan diteroka. Akses pasaran juga akan diperluas melalui kempen ‘Buy Social’ yang akan menyokong inisiatif ‘Made by Malaysia’. Selain itu, padanan perniagaan dan aktiviti pemasaran melalui platform e-dagang akan digalakkan dengan kerjasama strategik awam dan swasta. Inisiatif melalui pengiktirafan sosial dan insentif kepada pihak yang menyokong aktiviti sektor ketiga juga akan ditambah baik untuk merancakkan ekonomi sosial.
TONGGAK B: MENINGKATKAN MOBILITI SOSIAL [10]
Umum
Mobiliti sosial amnya merujuk kepada keupayaan individu atau kumpulan untuk berubah kedudukan sosial mereka sama ada menegak (vertical mobility) atau mendatar (horizontal mobility) dalam kelas masyarakat. Dari konteks pembangunan sosioekonomi, ia merupakan perubahan kedudukan sosioekonomi rakyat antara generasi dan juga perubahan kedudukan status kehidupan mereka sepanjang hayat dari aspek pendidikan, pekerjaan atau peluang ekonomi.
RMK13 memberi tumpuan kepada lima bidang keutamaan bagi meningkatkan mobiliti sosial seperti berikut:
- Reformasi Pendidikan
- Reformasi Pasaran Buruh
- Pengukuhan Pembangunan Terangkum dari Perspektif Pelbagai Dimensi
- Peningkatan Tahap Sosioekonomi Golongan Sasar
- Penyeimbangan Kemajuan Ekonomi Wilayah dan Pengukuhan Pembangunan Desa.
Pembangunan Terangkum dari Perspektif Pelbagai Dimensi
Antara strategi yang dikenalpasti untuk meningkatkan mobiliti sosial adalah seperti berikut:
i Memperkukuh Pengurusan Kos Sara Hidup
ii Menangani Kemiskinan
iii Merapatkan Kesenjangan
iv Menambah Baik Perlindungan Sosial
Menangani beban kos sara hidup merupakan agenda utama bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat. Pendekatan yang menyeluruh diperlukan, merangkumi pelbagai aspek terutamanya pendapatan dan perbelanjaan. Aspek pendapatan merangkumi peluang untuk menjana pendapatan mampan melalui pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan. Aspek perbelanjaan pula melibatkan kawalan kos pengeluaran dan harga runcit, serta jaminan bekalan dan perkhidmatan asas. RMK13 memberi tumpuan kepada usaha menangani kenaikan kos sara hidup melalui strategi dan inisiatif yang merentasi bidang keutamaan.
Tahap Sosio Ekonomi Golongan Sasar
RMK13 akan memberi tumpuan kepada pembangunan belia dari aspek pemerkasaan ekonomi, peningkatan kesejahteraan hidup dan pembentukan belia masa hadapan yang bertujuan untuk menyediakan generasi pelapis yang berkebolehan dan berdaya saing bagi meningkatkan mobiliti sosial. Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan bagi mencapai tujuan ini antaranya meningkatkan penglibatan belia dalam sektor ekonomi strategic, memperluas program pembangunan kemahiran dan mempertingkatkan penyertaan belia dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Bagi memperkukuh kestabilan kewangan belia pula, langkah akan diambil untuk meningkatkan tahap literasi kewangan, meneroka pengenalan amanah saham belia dan pembiayaan bersepadu, termasuk kemudahan untuk pemilikan rumah pertama. Di samping itu, kepimpinan dan kesukaralawanan belia juga akan turut dipertingkatkan bagi melahirkan pemimpin pelapis yang berwibawa, progresif dan berteraskan nilai.
Kemajuan Ekonomi Wilayah dan Pengukuhan Pembangunan Desa
Dalam RMK13, tumpuan akan diberikan kepada usaha mempercepat pembangunan sosioekonomi kawasan yang kurang membangun. Antara strategi yang akan dilaksanakan adalah:
- membangunkan hab pelaburan desa
- menarik pelaburan berskala besar dalam industri khusus;
- memperkukuh ekosistem digital di kawasan desa;
- menambah baik infrastruktur asas, ameniti sosial dan perumahan;
- memperkukuh pendidikan, latihan dan kemahiran TVET;
- membangunkan kapasiti usahawan muda, generasi kedua FELDA dan FELCRA;
- memulihara biodiversiti dan pengurusan sisa pepejal yang berkesan;
- menambah baik pelan dan model perniagaan perbadanan kemajuan ekonomi negeri (PKEN) dan lembaga kemajuan wilayah (LKW); dan
- penglibatan komuniti FELDA dan FELCRA dalam kerjasama antarabangsa untuk peluang pasaran baharu.
Bagi mempertingkatkan kecekapan perancangan dan tadbir urus pembangunan wilayah, inisiatif tersebut akan dilaksanakan, iaitu:
- menggunakan mekanisme pengukuran jurang pembangunan pada peringkat wilayah, negeri dan daerah yang lebih baik;
- menyediakan pelan induk dan pemetaan prasarana desa;
- menyediakan perancangan infrastruktur asas desa;
- mengintegrasikan pangkalan data desa;
- memperkukuh fungsi dan peranan PKEN dan LKW dalam merancakkan ekonomi negeri; dan
- memperluas pemakaian Rancangan Fizikal Negara (RFN) ke Sabah dan Sarawak.
Indeks Komposit Pembangunan Malaysia (IKPM) merupakan satu kaedah pengukuran pembangunan yang menyeluruh dan komprehensif yang dibangunkan bagi menilai tahap pembangunan di Malaysia secara lebih tepat dan bersepadu. IKPM digunakan untuk mengenal pasti jurang pembangunan pada pelbagai peringkat, iaitu wilayah, negeri dan daerah.
Indeks ini merangkumi lima komponen utama, iaitu fizikal dan spatial, ekonomi, sosial, alam sekitar serta tadbir urus. Melalui pendekatan pelbagai dimensi ini, IKPM bukan sahaja menilai pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mengambil kira kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar, kualiti infrastruktur dan keberkesanan tadbir urus.
Dalam RMK13, pembangunan jalan dan lebuh raya ditumpukan kepada usaha memperkukuh ketersambungan antara wilayah dengan menghubungkan jalan utama kepada kawasan yang kurang mendapat liputan, khususnya di luar bandar dan kawasan kurang membangun. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti, memudahkan pergerakan rakyat serta mempercepat aliran barangan dan perkhidmatan.
Pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang
meliputi jajaran dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai,Kelantan, Projek Sarawak-Sabah Link Road, Lebuhraya Trans Borneo dan Lebuhraya Pan Borneo akan membuka akses ke kawasan pedalaman, sekali gus merangsang aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang baharu kepada komuniti setempat. Selain itu, projek menaik taraf lebuh raya sedia ada seperti Laluan Juru–Sungai Dua dan Senai Utara–Machap akan meningkatkan kapasiti rangkaian jalan serta melancarkan mobiliti antara wilayah.
Penambahbaikan infrastruktur jalan ini turut disokong oleh usaha meningkatkan keselamatan jalan raya melalui pemasangan lampu jalan, lampu isyarat dan pemantauan had laju. Secara keseluruhan, inisiatif ini akan memperkukuh integrasi wilayah, mengurangkan jurang pembangunan serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif di seluruh negara.
Bandar pintar memainkan peranan bandar yang memanfaatkan penggunaan teknologi untuk meningkatkan kecekapan, kualiti perkhidmatan dan kemudahan kehidupan harian penduduk, serta menggunapakai data digital secara berhemah. Kerajaan dan rakyat mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR), Big Data, Machine Learning, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam perancangan, pengurusan dan pembangunan bandar bagi meningkatkan kualiti hidup, ekonomi dan kemampanan alam sekitar.
Konflik Guna tanah antara pembangunan dan pemuliharaan persekitaran memerlukan pendekatan holistik yang mempertimbangkan keperluan ekonomi, sosial, dan alam sekitar. Selain itu, kerjasama antara pihak berkuasa, pemaju, komuniti, dan pakar berkaitan persekitaran bagi memastikan pembangunan mampan serta dapat memenuhi keperluan pembangunan kepada penduduk.
Antara usaha Kerajaan ialah merancang guna ganah yang komprehensif melalui Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Daerah dan Rancangan Kawasan Khas dan pembangunan diluluskan berdasarkan kesesuaian tapak melalui laporan impak alam sekitar dan impak sosial, pengezonan tanah untuk tujuan pertanian, industri, pemuliharaan hutan, dan rizab Kawasan perlindungan.
TONGGAK C : MEMPERCEPAT PELAKSANAAN AGENDA REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM [14]
Umum
Bidang keutamaan dalam agenda reformasi perkhidmatan awam terbahagi kepada lima, iaitu penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berlandaskan prinsip ILTIZAM, pemerkasaan GovTech ke arah pembaharuan perkhidmatan kerajaan, pemantapan tatakelola baik, reformasi pengurusan projek dan fiskal serta pengukuhan ekosistem ekonomi sosial bagi mengarusperdanakan sektor ketiga.
Iltizam
Prinsip Iltizam telah diperuntukkan di bawah seksyen 5 Akta 867 seperti yang berikut:
- kecekapan perkhidmatan, iaitu penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkesan dan mudah dicapai;
- tanggungjawab dalam tadbir urus, iaitu pengamalan budaya kerja beretika dan berprestasi tinggi pada semua peringkat entiti Kerajaan dengan menerapkan akauntabiliti, integriti dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan kepada individu dan perniagaan;
- reformasi struktur, iaitu pelaksanaan perubahan dan penambahbaikan yang berterusan dalam entiti Kerajaan serta instrumen kawal selia untuk mengurangkan birokrasi dan untuk menyesuaikannya dengan kemajuan teknologi dan perubahan semasa; dan
- tanggungjawab dalam keberkesanan kawal selia, iaitu tanggungjawab dalam mengurangkan beban kawal selia dengan berpandukan nilai kecekapan, keberkesanan dan keperluan.
Melalui pematuhan kepada prinsip ini, perkhidmatan awam menjadi lebih cekap, telus dan berkesan serta memudahkan urusan rakyat dan komuniti perniagaan.
Pengurangan beban kawal selia adalah merupakan inisiatif untuk memastikan mana-mana kawal selia tidak menyebabkan beban yang berlebihan atau mempunyai kesan yang memudaratkan terhadap rakyat atau komuniti perniagaan.
GovTech
Pengintegrasian sistem-sistem perkhidmatan digital Kerajaan akan mudah dicapai melalui perkhidmatan dalam talian Kerajaan Persekutuan dari peringkat awal hingga akhir dengan pelaksanaan single sign-on yang akan memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan. Pelaksanaan ini adalah selaras dengan inisiatif GovTech yang menekankan kepentingan perkhidmatan kerajaan yang mudah dicapai serta boleh diakses pada bila-bila masa dan juga di mana-mana sahaja oleh rakyat.
Pengukuhan pendigitalan perkhidmatan awam melalui GovTech yang berteraskan tatakelola baik akan menghubungkan kerajaan, rakyat dan komuniti perniagaan ke arah pembentukan negara AI. Pengukuhan GovTech yang memberi penekanan kepada penerimagunaan teknologi, penciptaan nilai bersama serta pembangunan bakat akan menyokong pewujudan ekosistem kerajaan digital yang dinamik dan berdaya saing berlandaskan teknologi termaju, terutama AI. Menjelang tahun 2030, semua aspek pentadbiran dan perkhidmatan akan dihubungkan melalui teknologi digital yang telus dan tangkas.
Tatakelola
Tatakelola baik berteraskan nilai murni merupakan asas dalam mewujudkan ekosistem pentadbiran kerajaan yang lebih dinamik, progresif dan pragmatik ke arah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berpaksikan rakyat. Selain itu, pengurusan tatakelola baik juga akan menjamin kesejahteraan rakyat serta kestabilan politik dan sosioekonomi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing pada peringkat global.
Empat strategi yang telah dikenal pasti untuk memantapkan tatakelola baik dalam perkhidmatan kerajaan ialah:
- Memperkukuh integriti dan akauntabiliti;
- Mereformasi perundangan dan institusi;
- Mempercepat rasionalisasi fungsi dan peranan kementerian dan agensi; dan
- Memantapkan pembangunan sumber manusia sektor awam.
Fiskal
Mekanisme penilaian projek strategik dan kawalan kos akan diperkasa melalui pemakaian pendekatan kos kitaran hayat, penilaian terperinci bagi projek melebihi RM300 juta, penggunaan pangkalan data Pembanding Sektor Awam yang lebih komprehensif, serta pelaksanaan wajib Building Information Modelling (BIM) dan perluasan sistem binaan berindustri (IBS) bagi projek tertentu.
RMK13 menetapkan empat sasaran utama bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek pembangunan dan memastikan kedudukan fiskal negara lebih mampan. Sasaran ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperkukuh tata kelola dan kecekapan perbelanjaan awam:
- Tiada projek belum dimulakan pada tahun kedua selepas kelulusan, bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan;
- Sasaran sebanyak 95% atau lebih bagi perbelanjaan pembangunan berdasarkan peruntukan asal setiap tahun;
- Defisit fiskal kepada KDNK di bawah 3% menjelang 2030, bagi mengekalkan kestabilan fiskal; dan
- Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK berkurang kepada 60% atau kurang, untuk memastikan pengurusan hutang yang berhemat.
Kesemua sasaran ini disokong melalui reformasi struktur perluasan, teknologi baharu,
pemantauan projek secara masa nyata dan pengukuhan proses perolehan.
Antara langkah pengukuhan fiskal di bawah RMK13 adalah pengukuhan mekanisme kutipan hasil Kerajaan melalui pelaksanaan sistem invois elektronik secara berperingkat sehingga tahun 2026. Langkah ini adalah khusus bagi meningkatkan pendigitalan kutipan cukai. Di samping itu, peluasan asas hasil cukai di bawah Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS), seperti pelaksanaan cukai global minimum (GMT) serta semakan berkala cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dilaksana bagi membolehkan penyediaan lebih banyak kemudahan dan bantuan untuk kesejahteraan rakyat.
Ekonomi Sosial
Dalam konteks RMK13, sektor ketiga merujuk kepada individu atau kumpulan yang menjalankan aktiviti kesukarelawan atau kemasyarakatan dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan sosial, penjagaan kesihatan, alam sekitar, pendidikan, budaya dan advokasi dengan misi untuk menangani cabaran sosial dan meningkatkan kesejahteraan golongan rentan. Pemain sektor ketiga terdiri daripada individu atau organisasi seperti badan amal, yayasan, persatuan, organisasi bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil, perusahaan sosial dan koperasi.
Ekonomi sosial merujuk kepada aktiviti ekonomi yang memberi fokus kepada penyelesaian masalah sosial atau peningkatan kesejahteraan masyarakat. Pembangunan ekonomi sosial dipacu oleh pemain sektor ketiga yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana, koperasi, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil dalam menyumbang kepada peningkatan tahap sosioekonomi rakyat. Pembangunan ekonomi sosial turut disokong oleh sumber pembiayaan daripada kerajaan, syarikat swasta dan rakyat, termasuk dalam bentuk dana, derma, zakat, wakaf dan sedekah.
Objektif utama pembangunan ekosistem ekonomi sosial adalah untuk mengarusperdanakan sektor ketiga sebagai penyumbang penting dalam pembangunan sosioekonomi negara. Rakyat sebagai kumpulan sasar akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk terlibat secara langsung bersama-sama pemain sektor ketiga dalam kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan mobiliti sosial selari dengan usaha untuk menaikkan lantai. Rakyat sebagai pemain sektor ketiga pula dapat turut serta menyumbang dalam menyelesaikan masalah sosial setempat, seperti kemiskinan, keciciran pendidikan serta kekangan dalam perkhidmatan penjagaan. Keberhasilan daripada langkah ini akan dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang telus, tangkas dan tuntas serta mengoptimumkan pengagihan bantuan kepada rakyat.
Di bawah RMK13, usaha untuk mewujudkan ekosistem ekonomi sosial yang menyeluruh dan memudah cara akan dilaksanakan bagi membolehkan pemain sektor ketiga terus meningkatkan skala dan daya saing serta memainkan peranan yang lebih besar, khususnya dalam menangani isu sosioekonomi rakyat. Dalam hubungan ini, tumpuan akan diberikan dalam membangunkan dasar ekonomi sosial, menggubal perundangan serta memperkukuh kawal selia dan tadbir urus pembangunan ekonomi sosial. Usaha ini akan menambah baik persekitaran perniagaan bagi menyokong pertumbuhan pemain sektor ketiga serta melindungi kepentingan rakyat termasuk menangani isu penipuan dan penyalahgunaan dana sumbangan awam.
TONGGAK D : MEMPERTINGKATKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR [20]
Pembentukan Negara Bangsa
Pembentukan negara bangsa diberi keutamaan dalam RMK13 berasaskan kepada integrasi dan identiti nasional, semangat patriotik, nilai sahsiah serta pembentukan masyarakat yang aktif dan sihat. Matlamat utamanya adalah untuk membina sistem sosial berteraskan insan MADANI yang mampu menjamin keharmonian sosial, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara.
Langkah ini juga bertujuan meningkatkan jati diri, menyemai semangat patriotik, dan menanam rasa bangga rakyat terhadap negara. Selain itu, usaha ini adalah bagi memperkukuh imej Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang aman, stabil dan progresif. Melalui pendekatan ini, Malaysia juga akan tampil sebagai pemimpin serta peneraju utama dalam pembentukan wacana global yang memperjuangkan orde baharu dunia yang lebih seimbang dan saksama.
Tumpuan akan diberikan kepada usaha merekayasa sistem sosial berteraskan insan MADANI kerana pembinaan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah memerlukan pembentukan sistem sosial yang utuh berteraskan insan MADANI dan identiti nasional. Dalam hubungan ini, penekanan akan diberikan kepada usaha untuk melahirkan rakyat yang mempunyai nilai kerohanian, aspek manusiawi dan jati diri yang teguh serta membina masyarakat yang saksama, harmoni, saling menghormati dan bersatu padu.
Dalam RMK13, pembentukan insan MADANI akan ditumpukan kepada usaha mereformasi sistem pendidikan dan menerapkan semangat cintakan negara, manakala pembinaan masyarakat yang saksama dan progresif akan menekankan usaha untuk memperkukuh integrasi dan perpaduan, menyemarakkan semangat muhibah serta memupuk budaya kesukarelawanan.
Strategi yang digariskan adalah seperti berikut:
- Memperkukuh integrasi dan perpaduan nasional
- Memperkukuh patriotisme dan identiti nasional
- Memperkukuh diplomasi berkesan dan imej Malaysia di arena antarabangsa
- Mempertingkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan
- Mempertingkatkan kecemerlangan sukan pada peringkat dunia
Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah:
- Membangunkan piagam harmoni Malaysia sebagai panduan utama bagi perhubungan dan keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia
- Mempertingkatkan pelaksanaan program integrasi dan interaksi sosial yang lebih menyeluruh dengan memanfaatkan pelbagai platform, termasuk media sosial dan permainan digital
- Memperhebat program yang memberi tumpuan kepada pembinaan negara bangsa
- Memperkasa peranan ahli politik, pengamal media, akademia, NGO dan CSO dalam menyemai keharmonian dengan memudah cara perkongsian maklumat yang tepat kepada rakyat
Antara langkah yang akan diambil adalah:
- Mempergiat penghasilan karya dan kandungan kreatif yang mempunyai nilai patriotisme serta menonjolkan identiti nasional dan jati diri
- Mempertingkatkan penghayatan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran
- Mempertingkatkan penerapan adab, nilai kerohanian dan aspek manusiawi, termasuk berdasarkan prinsip Maqasid Syariah serta pembudayaan integriti dan kesukarelawanan
- Melaksana Program Latihan Khidmat Negara melalui modul latihan bersepadu yang menggabungkan komponen kenegaraan dan latihan ketenteraan asas
- Memperoleh bahan sejarah Malaysia yang berada di luar negara untuk memastikan khazanah negara yang berharga dapat dipelihara dan dihargai oleh rakyat
Untuk memastikan Malaysia mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi dan berdaya saing di peringkat dunia, RMK13 menggariskan beberapa inisiatif yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, penggunaan teknologi, serta pengurusan latihan yang fleksibel dan berfokus. Inisiatif tersebut adalah:
- Melengkapkan lebih banyak pusat latihan sukan dengan kemudahan berteknologi moden bagi membolehkan atlet dilatih dalam pelbagai disiplin dan kepakaran menggunakan modul latihan berasaskan sains dan teknologi sukan terkini
- Menambah baik pengurusan latihan atlet berprestasi tinggi dengan memberi fleksibiliti kepada atlet untuk memilih sendiri jurulatih, tempat latihan, jenis pertandingan dan modul sokongan sains sukan
- Memanfaatkan penganjuran Sukan Asia Tenggara (SEA) di Malaysia pada tahun 2027 untuk meningkatkan kecemerlangan negara serta memperluas penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan kesukarelawanan
Agenda Negara Menua
Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahap penuaan negara ini dikategorikan kepada 3 fasa, iaitu negara menua (ageing nation), negara tua (aged nation) dan negara sangat tua (super-aged nation).
Negara menua berlaku apabila populasi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas mencapai 7% daripada jumlah keseluruhan penduduk. Negara tua dicapai apabila populasi ini meningkat kepada 14% dan akhirnya kepada negara sangat tua apabila populasi penduduk mencapai 20%.
Berdasarkan definisi ini, Malaysia telahpun menjadi negara menua pada tahun 2021 apabila 2.3 juta atau 7% daripada jumlah penduduk negara adalah dalam kalangan mereka yang berusia 65 tahun dan lebih.
Strategi yang akan dilaksanakan dalam RMK13 adalah :
- Mewujudkan Ekosistem Penjagaan Jangka Panjang yang Mampan
- Mempersiap Pasaran Buruh, Kemahiran dan Pendidikan
- Menyesuaikan Keutamaan Fiskal dan Menambah Baik Perlindungan Sosial
- Meningkatkan Kesejahteraan Warga Berusia
RMK13 memberi keutamaan terhadap persediaan Malaysia menuju negara tua melalui pelaksanaan pelan tindakan jangka pendek dan sederhana yang terkandung dalam Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan, 2025-2045 atau NAB.
Strategi dan inisiatif dalam RMK13 yang dirangka adalah bagi pelaksanaan jangka pendek dan sederhana sebagai persediaan menuju negara tua pada tahun 2043 dengan matlamat untuk:
- mengukuhkan kedudukan fiskal negara;
- menyediakan bakat masa hadapan yang mempunyai kemahiran selaras dengan keperluan perubahan demografi;
- menggalakkan penyertaan warga berusia dalam pasaran buruh;
- mengukuhkan perlindungan sosial dan jaminan kewangan;
- memperkukuhkan sistem kesihatan dan penjagaan jangka panjang warga berusia; dan
- meningkatkan penglibatan warga berusia dalam masyarakat dan pembangunan sosiekonomi.
Kesihatan
Reformasi kesihatan merujuk kepada usaha kerajaan untuk membaik pulih dan memperkukuh sistem kesihatan negara secara menyeluruh. Ia bertujuan memastikan rakyat mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang saksama, berkualiti dan mampu bayar.
Antara faedah yang boleh diterima oleh rakyat termasuk:
- rawatan lebih cepat dan berkualiti di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta
- mempunyai rekod kesihatan digital yang boleh diakses dari mana-mana fasiliti kesihatan
- perkhidmatan kesihatan warga emas lebih terurus
- lebih banyak pilihan rawatan melalui kerjasama awam-swasta
Kerajaan sedang bekerjasama dengan syarikat insurans/takaful bagi memperkenalkan produk insurans kesihatan asas bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan swasta dan Rakan KKM pada kadar yang berpatutan.
Rakan KKM ialah inisiatif Kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan berbayar secara ekonomi premium di hospital awam untuk pesakit yang berkemampuan. Ia bertujuan mengekalkan bakat kesihatan pakar dalam sektor awam, di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan sedia ada.
Rekod kesihatan digital ialah maklumat perubatan individu yang disimpan dalam sistem maklumat pengkomputeran awan dan boleh diakses oleh klinik atau hospital yang berkaitan. Ia memudahkan capaian berpusat kepada rekod kesihatan individu. Data ini dilindungi dan hanya boleh diakses dengan kebenaran.
Perumahan
Ya, sebanyak 500 ribu unit rumah mampu milik merupakan sasaran yang telah ditetapkan di bawah RMK13. Sasaran ini akan dicapai melalui Reformasi Perumahan yang bertujuan untuk meningkatkan tempat tinggal yang berdaya huni, berkualiti dan terangkum serta mampu dibayar oleh segenap lapisan masyarakat.
Pendekatan baharu yang akan diperkenalkan adalah peralihan tumpuan kepada model baharu pembiayaan dan pemilikan berdasarkan konsep sewa untuk beli (RTO) yang dapat meningkatkan keupayaan rakyat untuk memiliki rumah. Matlamat ini untuk membolehkan rakyat menjalani kehidupan wajar hanya akan dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan negeri, sektor swasta, institusi kewangan dan wakil industri. Tiga strategi telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dalam tempoh RMK13, seperti berikut:
- Meningkatkan Penyediaan Perumahan Berkualiti, Berdaya Huni dan Terangkum
- Meningkatkan Pemilikan Rumah
- Memantapkan Kecekapan Kawal Selia dan Pengurusan Perumahan
Kaedah pemilikan rumah melalui skim RTO akan diperluas bagi memberi peluang kepada isi rumah yang kekurangan deposit awalan dan tidak layak untuk mendapatkan pembiayaan komersial. Model baharu skim RTO akan diperkenalkan untuk menyediakan mekanisme sistem sewaan yang lebih fleksibel dan mampu milik. Cadangan penubuhan konsortium perumahan bagi memastikan pengurusan skim RTO dilaksanakan dengan lebih cekap dan mampan akan diteroka. Skim pembiayaan rumah mampu milik sedia ada akan ditambah baik, termasuk dalam aspek penetapan kadar faedah secara berperingkat dan tempoh pembiayaan bagi membolehkan lebih ramai golongan sasar membeli rumah pertama.
Kesihatan Bumi
Dalam tempoh RMK13, hala tuju Kerajaan adalah tertumpu kepada penyediaan dasar dan perundangan yang kukuh, mekanisme pelaksanaan yang teratur dan pendekatan yang berinovasi. Antara strategi yang akan diambil bagi memelihara kesihatan bumi adalah memantapkan pengurusan perubahan iklim dan alam sekitar, mempertingkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti serta memperkukuh pelaksanaan ekonomi kitaran dan pengurusan sisa.
Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan inisiatif karbon biru dalam tempoh RMK13. Inisiatif ini akan membantu usaha memelihara alam sekitar yang melibatkan pemuliharaan ekosistem pesisir seperti paya laut dan paya gambut bagi menyerap karbon secara semula jadi. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah melindungi kawasan pesisir daripada banjir dan hakisan pantai.
Dalam tempoh RMK13, Kerajaan akan memastikan kehidupan rakyat dan aktiviti ekonomi kurang terkesan akibat impak bencana melalui peningkatan kecekapan tadbir urus, perancangan dan penyelarasan mitigasi bencana. Di samping itu, Kerajaan akan turut meningkatkan kesiapsiagaan agensi keselamatan dan program sokongan bencana bagi memastikan bencana diurus dengan lebih mantap dan cekap.
Pengurusan sisa pepejal akan ditambah baik melalui penggunaan teknologi tinggi dan pendekatan mampan seperti pelaksanaan program Komuniti Sifar Sisa, pembinaan loji waste-to-energy, serta kerjasama komuniti dan agensi untuk mengurus sisa secara bersepadu dan efisien.
PEMANTAUAN RMK13 [1]
- Kejayaan pelaksanaan RMK13 bergantung kepada penyelarasan dan kerjasama erat semua pihak sama ada sektor awam, swasta, atau pertubuhan masyarakat sivil untuk melaksanakan setiap strategi dan inisiatif telah dikenal pasti. Bagi memudahkan penyelarasan pelaksanaan RMK13, Kerajaan menyediakan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) yang merupakan panduan pelaksanaan dasar peringkat nasional.
- Kerjasama ditingkatkan lagi antara pelbagai agensi pemantau seperti Pejabat Belanjawan Negara dan Unit Pantau MADANI di Kementerian Kewangan serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Lonjakan Penyelarasan Prestasi di Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan pemantauan yang lebih berkesan.
- Pelaporan pencapaian RMK13 secara berkala oleh semua pihak yang terlibat melalui sistem MyRMK yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi secara berfasa.
- Prestasi RMK13 akan dipantau oleh beberapa jawatankuasa sedia ada yang telah dikenal pasti dan dilaporkan ke peringkat tertinggi iaitu Jemaah Menteri.